Sekarang ini semua orang mudah terdedah kepada pelbagai jenis  scam termasuklah Macau Scam. Scam ini merupakan satu jenayah penipuan dalam telekomunikasi.

Scammer akan menyamar sebagai pegawai yang mempunyai autoriti seperti PDRM, SPRM atau lain-lain agensi. Mereka akan menimbulkan rasa was-was, panik dan tekanan terhadap mangsa untuk membela diri atau mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Antara faktor orang kita mudah tertipu adalah dengan kewibawaan dan kesahihan yang ditunjukkan oleh penipu yang mana membuatkan mangsa bertindak tanpa berfikir terlebih dahulu, pemerasan, tekanan, keserakahan, kelalaian, kenaifan dan paksaan.

Macau scam boleh berlaku dalam situasi berikut :

  • Keldai akuan bank

Pelaku akan menawarkan mangsa untuk membuat bisnes dan diberikan modal yang beribu ringgit pada setiap bulan. Disebabkan ini mangsa mudah terpedaya dengan memberikan akuan peribadinya kepada pelaku atas sebab urusan menubuhkan sesebuah bisnes. Scammer akan menggunakan akuan bank tersebut untuk menipu mangsa yang lain melalui macau scam tanpa pengetahuan empunya akuan sendiri. Ini dapat mengelakkan scammer ditangkap dan hanya mangsa pertama yang akan disoal-siasat oleh pihak berkuasa tanpa melibatkannya disebabkan tiada bahan bukti yang kukuh terhadapnya.

  • Menyamar Sebagai Pegawai Berkuasa

Scammer akan menyamar sebagai seorang pegawai bank atau pegawai polis dan mencipta scenario yang mangsa sudah terlepas pembayaran seperti tunggakan kad kredit atau tunggakan saman. Mereka akan memberi tekanan dengan mengatakan jika mangsa tidak menyelesaikan denda atau membuat pembayaran dalam masa terdekat, akuan akan dibekukan atau nama akan di ‘senarai hitamkan’.

  • Penculikan Palsu

Scammer akan membuat panggilan telefon dan memberitahu ada ahli keluarga mangsa telah diculik. Malah, scammer juga mempersembahkan adagen penculikan di mana mangsa culik akan menjerit meminta tolong sebagai latar dan setelah itu mereka akan meminta wang tebusan.

  • Cabutan Bertuah

Mangsa akan menerima panggilan atau mesej bahawa mereka telah memenangi cabutan bertuah atau loteri. Kemudian, scammer akan meminta memindahkan wang bertujuan menuntut hadiah tersebut.

  • Love Scam

Love scam mempunyai beberapi kategori tetapi yang selalu digunakan adalah dengan media sosial. Scammer bermula dengan meletakkan gambar dan latar belakang cerita yang menarik, kemudian mereka mencari mangsa yang agak kesunyian terutamanya wanita yang bekerjaya. Selepas mereka menjumpai sasarannya, mereka akan mendekati mangsa dengan cerita yang menarik, memuji-muji dan menunjukkan seolah-olah mereka kisah terhadap mangsa. Setelah mangsa mula tertarik dengan mereka, mereka akan mula mereka cerita dimana mereka memerlukan wang dengan kadar segera dan mula mengugut mangsa jika tidak mahu patuh.

  • Penipuan Barangan Online

Penipuan barangan di dalam talian adalah antara scam yang paling mudah untuk dilakukan kerana scammer hanya perlu mengiklankan produk-produk yang tidak perlu wujud sekalipun. Mereka hanya perlu menunggu sehingga mangsa berminat akan produk tersebut dan meminta wang dibayarkan dengan segera dalam bentuk deposit ataupun secara kesuluruhan. Selepas itu, scammer akan terus menghilangkan diri sehingga mereka menyekat akaun mangsa tanpa memberi produk tersebut.

Langkah untuk Mengelakkan Menjadi Mangsa Macau Scam

  • Jangan panik dan segera hubungi pihak polis atau institusi kewangan yang terlibat sebelum mengikuti arahan scammer.
  • Jangan dedahkan sebarang maklumat peribadi kepada mana-mana individu seperti nombor kad pengenalan, nombor akuan bank dan lain-lain maklumat.
  • Jika anda berasa curiga, semak dan hubungi organisasi berkaitan dengan menggunakan nombor telefon rasmi mereka.
  • Semak lokasi di mana ahli keluarga anda berada sebelum membuat apa-apa tindakan untuk kes penculikan.
  • Jangan mudah terpedaya dengan orang yang mendekati dengan kita tidak kira di laman sosial ataupun di kawasan awam.
  • Selalu memastikan bahawa peniaga yang berjual produk-produk di Internet adalah sahih terutamanya di media sosial dimana pengguna tidak boleh menyemak kredibilitinya dengan tepat.