Usah Hirau Email Palsu : Sekadar Peringatan
Perkara yang ingin saya ketengahkan pada kali ini sebenarnya sudah beberapa kali kami maklumkan namun saya yakin masih ramai lagi warga UTHM yang tidak mengambil endah tentang perkara ini. Baru - baru ini saya menerima lagi aduan mengenai email yang meminta anda memberikan email id atau katalaluan. Untuk pengetahuan pembaca sekalian pihak kami sebenanrnya telah menerima pelbagai bentuk email yang sebegini. Sebelum ini pernah juga pengadu memberitahu beliau menerima email yang kononnya dari Maybank meminta katalaluan dalam bentuk yang sama.

Pertama-tamanya saya ingin menegaskan di sini bahawa pihak Pusat Teknologi Maklumat TIDAK PERNAH sekali - kali menghantar email yang meminta pengguna memberikan pengesahan katalaluan. Saya ingin menegaskan di sini untuk kesekian kalinya pastikan anda tahu dan faham kandungan email yang anda terima dan jangan membalas email yang anda terima sembarangan tanpa mengetahui hujung pangkalnya.
Beberapa tips kepada anda untuk mengurangkan risiko menerima email palsu sebegini :
Pertama , jangan memberikan alamat email anda sewenang-wenangnya kepada mana - mana laman web atau iklan di web yang kononnya menawarkan hadiah percuma atau info percuma.
Kedua , jangan sewenang-wenangnya memberikan alamat email anda kepada individu yang anda tidak kenali. Email anda mungkin disalahgunakan oleh individu terbabit.
Ketiga , jangan sewenang-wenangnya melanggan mana - mana bahan yang kurang penting dari internet menggunakan alamat email rasmi anda. Ini adalah kerana jika anda telah mula melanggan, email anda akan terus digunakan oleh pihak - pihak yang lain untuk tujuan mencuri id dan sebagainya atau menghantar maklumat yang tidak diperlukan (junk email).
Sebelum saya menamatkan artikel ini saya juga ingin berpesan kepada semua yang masih menggunakan katalaluan email yang terlalu mudah seperti sama dengan alamat email, no kad pengenalan contoh seperti nama adalah ahmad dan kata laluan juga adalah ahmad. Diharapkan agar dapat menukarkannya kepada katalaluan yang terdiri daripada gabungan huruf dan nombor contohnya = p4ssw0r6. Ini adalah untuk mengelakkan daripada email anda digunakan oleh pihak - pihak tertentu bagi menghantar spam.
Kesimpulannya, saya mengharapkan agar semua warga UTHM sentiasa berwaspada dengan email - email palsu yang mereka terima. Pihak Unit Keselamatan IT sentiasa melakukan yang terbaik untuk melindungi email anda daripada ancaman sebegini namun kerjasama dari anda semua perlu bagi meningkatkan tahap keselamatan sedia ada. Sekian semoga kita bertemu lagi di isu yang akan datang.
Artikel ditulis oleh Sahizan Bin Mohd Sagi, Unit Keselamatan IT , PTM, UTHM